Seperti yang kita sedia maklum, terdapat tiga kaum utama di Malaysia yakni Melayu, India dan Cina.Ketiga-tiga kaum ini memiliki makanan tradisional masing-masing.Kaum Melayu dengan nasi lemak, kaum India pula dengan roti canai manakala kaum Cina terkenal dengan pau dan kueh tiaw. Makanan tradisional ini walaupun berasal dari kaum yang berbeza namun tetap dinikmati oleh rakyat Malaysia secara amnya. Kaum India dan Cina turut menggemari nasi lemak. Begitu juga dengan kaum Melayu dan Cina yang meminati roti canai dengan kuah dal.
Di sini saya ingin mengetengahkan topik berkenaan dengan persamaan makanan tradisional ketiga-tiga kaum berkenaan. Persamaan yang pertama, jika dilihat dari segi penyediaan makanan pada hari perayaan. Misalnya, pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, kedua-dua budaya memasak makanan istimewa dan lain dari hari biasa dipraktikkan. Orang Melayu memasak rendang, orang Cina dengan makanan mewahnya, begitu juga dengan orang India.Masing-masing menyediakan makanan yang banyak pada hari perayaan untuk santapan keluarga dan jiran tetangga.
Persamaan yang kedua boleh kita lihat dari segi penyediaan dan pemakanan nasi oleh ketiga-tiga kaum berkenaan. Orang Cina dan orang Melayu menjadikan nasi sebagai makanan utama mereka. Walaupun orang India lebih gemar makan makanan yang berasaskan roti seperti paratha dan murtabak namun mereka tetap menjamah nasi sebagai makanan utama. Cara mereka menyediakan nasi juga sama, Cuma sedikit berbeza dari segi ramuannya. Sebagai contoh, orang India terkenal dengan nasi yang dicampur rempah ratus manakala orang Melayu lebih gemar nasi yang lemak bersantan. Orang Cina pula kreatif dalam memasak nasi menggunakan air rebusan dari pati tulang ayam. Misalnya, Nasi Ayam Hainan.
Rajah 1 Nasi Ayam Hainan Rajah 2 Nasi Beriani Rajah 3 Nasi Lemak
Dari segi penyediaan ramuan juga hampir menunjukkan persamaan yang ketara. Bahan-bahan seperti bawang, halia, lada, cili dan rempah ratus merupakan bahan utama untuk ketiga kaum utama di Malaysia melazatkan lagi makanan mereka. Misalnya masakan orang India dan Melayu biasanya pedas dan berempah. Sebagai contoh, nasi beriani dan nasi lemak. Rasanya mungkin berbeza namun kedua-duanya memiliki rasa pedas yang sama
.
Rajah 4 Rempah ratus kegemaran rakyat Malaysia
Rajah 5 Nama rempah ratus
Tidak lupa juga pada makanan ringan yang menjadi kegemaran ramai. Orang India dengan thosai, muruku dan pani puri. Orang Melayu pula terkenal dengan penghasilan kerepek. Jika orang Melayu memiliki kerepek pisang, orang India pula terkenal dengan papadom. Memang kedua-dua bahan utama untuk membuatnya berbeza, namun jika diteliti dengan lebih mendalam, masing-masing menggunakan bahan semulajadi yang mudah diperolehi dan berkhasiat untuk menghasilkan makanan tersebut.
Rajah 6 Kerepek Pisang Tanduk Rajah 7 Papadom
Selain itu kaum Melayu, India dan Cina juga sama dari segi penghasilan jeruk makanan. Mereka menjeruk makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dengan menggunakan ramuan seperti gula, cili dan garam. Masyarakat Asia memang sedari dahulu lagi gemar menjeruk makanan. Orang India memang tidak begitu ketara dalam penghasilan jeruk tetapi mereka juga mahir menjeruk buah contohnya buah mangga muda. Kaum Melayu dan Cina biasanya menjeruk buah seperti mangga,ceri, rambutan, betik, sayur-sayuran yang pahit dan kelat seperti lobak putih, sayur ensabi dan sayur sawi pahit.
Rajah 8 Sawi pahit dan jeruk buah
Persamaan dari segi corak acuan juga boleh dikenalpasti. Kebanyakan corak acuan ketiga-tiga etnik Melayu, Cina dan India berbentuk flora dan fauna. Corak yang dihasilkan biasanya diambil dari gambaran yang hampir dengan mereka. Misalnya bunga, daun, cengkerang, siput dan lain-lain lagi.
Rajah 9 Kepelbagaian acuan
Rajah 10 Acuan kuih bulan
Jika dikaji dengan lebih mendalam, ketiga-tiga etnik utama di Malaysia yakni Melayu, Cina dan India mempunyai persamaan dari pelbagai segi. Persamaan ini tanpa kita sedari akhirnya membawa kepada suatu budaya baru iaitu budaya orang Malaysia. Bak kata lirik lagu ‘Rumah Kita’, nyanyian ND Lala, Mari kita cari titik persamaan, jangan dibesarkan titik perbezaan.
minta izin nak guna ayat diatas.
ReplyDelete